SEJARAH SEKOLAH
SMK BATU MUDA (SMKBM) TELAH DITUBUHKAN PADA TAHUN 2000 DENGAN KELUASAN 2.1 HEKTAR. SMKBM YANG TERLETAK DI KAMPUNG BATU MUDA, KUALA LUMPUR MERUPAKAN SEKOLAH KERAJAAN GRED B DAN SMKBM MEMPUNYAI 4 BANGUNAN UTAMA. PADA AWAL TAHUN PEMBUKAANNYA DENGAN HANYA 360 ORANG BILANGAN PELAJAR IAITU PELAJAR TINGKATAN 1 SEBANYAK 240 ORANG (6 KELAS), TINGKATAN 2 SEBANYAK 120 ORANG (3 KELAS), PENTADBIR SERAMAI 4 ORANG, GURU SERAMAI 17 ORANG DAN STAF SOKONGAN SERAMAI 4 ORANG, SMKBM TELAH BERJAYA MEMBENTUK IMEJ YANG CEMERLANG DAN MEMPUNYAI BILANGAN PELAJAR YANG SEMAKIN BERTAMBAH SEHINGGA KINI SERAMAI LEBIH KURANG 1600 ORANG PELAJAR. SEMENJAK 2008, SMKBM MENJALANKAN 2 SESI PERSEKOLAHAN BAGI MENAMPUNG BILANGAN PELAJAR TERSEBUT. SMKBM TURUT MEMPUNYAI PELBAGAI PRESARANA YANG MEMBERI RUANG KEPADA ANAK-ANAK BANGSA MENDAPAT AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI DAN SUASANA PEMBELAJARAN YANG KONDUSIF DAN CERIA. SMKBM JUGA MENEMPATKAN PELAJAR DARI TINGKATAN 1 HINGGA TINGKATAN 6 DALAM ALIRAN PERDANA DAN PELAJAR PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI. KINI, WARGA SMKBM BERUSAHA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH UNTUK MENCAPAI VISI DAN MISI SEKOLAH DAN BERHASRAT MENJADI SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI KELAK. |
AMANAT PENGETUA
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Sebagai pembuka kata, saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang dan kesempatan berharga ini. Syabas kepada Ahli Jawatankuasa Laman Web SMKBM kerana mampu merealisasikan laman web rasmi sekolah. Ucapan terima kasih dan tahniah yang tidak terhingga atas usaha dan komitmen yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan laman web www.SMKBatuMuda.edu.my. Terima kasih juga kepada PIBG yang menyokong penuh usaha murni ini. Adalah menjadi harapan saya, tahun 2011 ini SMKBM terus melakar pelbagai kejayaan dan kecemerlangan baik dalam kurikulum mahupun kokurikulum. Sehubungan dengan itu, para pendidik haruslah menjalankan amanah yang diberi untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, malah melahirkan pelajar yang berdisiplin dan berkeyakinan diri. Kepada semua warga terutama pelajar-pelajar yang dikasihi, mulakanlah tahun ini sebagai tahun untuk mencapai kegemilangan seperti mana yang telah ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam. Kepada pelajar-pelajar SMKBM, saya menyeru agar sentiasa mempersiapkan diri dan minda dengan ilmu duniawi dan ukhrawi supaya dapat berhadapan dengan cabaran dunia globalisasi dan seterusnya mampu mencapai wawasan 2020 dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Kepada seluruh warga SMKBM, saya berharap agar dapat berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan agar dapat menjana potensi murid ke tahap yang optimum sekaligus memartabatkan SMKBM sebagai institusi pendidikan cemerlang yang mampu melahirkan generasi terbilang minda kelas pertama yang dapat bersaing di persada antarabangsa. Akhir bicara, saya amat menaruh harapan yang tinggi agar pelajar-pelajar di sekolah ini mempunyai sahsiah dan akhlak yang mulia. Kesungguhan dan komitmen seluruh warga SMKBM serta ibu bapa sudah tentu dapat melahirkan generasi pelajar yang berilmu, dinamik, progresif dan berdaya saing dalam menghadapi pelbagai aspek kehidupan dan menjadi insan yang kamil. Semoga segala kejayaan yang telah kita capai pada masa ini akan menjadi inspirasi untuk kita pada masa mendatang. Sekian, terima kasih. Puan Zakiah Abang Bawi Pengetua SMK Batu Muda |